SELAMAT DATANG

Sebarang saranan dan cadangan amat dialu-alukan. Tuliskan cadangan dan saranan serta pesanan anda di ruang "sembang online" Terima kasih.

KANDUNGAN PSV

Kurikulum Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah disusun berdasarkan
kandungan yang dibahagikan kepada:
1. Penghasilan seni visual
2. Sejarah dan apresiasi seni visual

SENI VISUAL
Bidang ini menyediakan peluang kepada murid mengaplikasi kefahaman mereka untuk menghasilkan kerja seni berdasarkan asas seni reka dalam pelbagai teknik. Proses penghasilan ini memberatkan pernyataan idea yang berkaitan dengan pernyataan kendiri, masyarakat dan nilai kenegaraan.
Sehubungan itu latar belakang budaya dan nilai masyarakat yang terdapat dalam sesuatu karya seni diperkenalkan. Aspek sains dan teknologi diperkenalkan secara terus untuk membantu kegiatan seni.
Bidang ini meliputi asas seni reka, seni halus (lukisan, catan, arca dan cetakan), komunikasi visual (seni grafik dan multimedia), reka bentuk (reka bentuk industri dan reka bentuk persekitaran) serta seni kraf tradisional dan dimensi baru.

Bidang Penghasilan Seni Visual meliputi:
a) Asas Seni Reka
i) Unsur Seni garisan, rupa, bentuk, ruang, jalinan dan warna
ii) Prinsip rekaan harmoni, penegasan, imbangan, kontra,irama dan pergerakan, kepelbagaian dan kesatuan.
b) Seni Halus lukisan, catan, arca dan cetakan
c) Komunikasi Visual reka bentuk grafik dan multimedia
d) Reka Bentuk reka bentuk industri dan reka bentuk persekitaran (hiasan dalaman dan lanskap)
e) Kraf Tradisional dan Dimensi Baru tembikar/seramik, batik, ukiran kayu,
anyaman, tenunan dan tekat.
Bidang ini memberi peluang kepada murid membuat kajian pemahaman terhadap hasil seni visual dalam budaya tempatan, kebangsaan dan negara ASEAN serta negara tertentu yang mempunyai kesamaan dan kelainan dengan budaya kebangsaan. Murid dapat menyatakan kefahaman, membuat apresiasi dan kritikan seni.

Bidang Sejarah dan Apresiasi Seni Visual meliputi :
a) Perkembangan Seni Visual di Malaysia:
i) Seni Halus gerakan seni halus, pelukis,penghasilan dan sumbangan.
ii) Kraf Tradisional dan Pribumi tokoh, penghasilan dan sumbangan.
b) Peralatan senjata dan domestik
c) Alat Permainan gasing, wau dan alat muzik tradisional
d) Seni Bina kediaman, masjid, wakaf, gerbang,makam dan taman
e) Kenderaan darat dan laut atau sungai
f) Pakaian baju kurung, baju melayu, baju kedah, baju cekak musang dan lain-lain.
g) Perhiasan (Ornamen) hiasan kepala, hiasan leher, hiasan tangan, hiasan kaki dan hiasan pinggang.

Kurikulum Pendidikan Seni Visual disusun berdasarkan dua bidang iaitu
Bidang Penghasilan Seni Visual serta Sejarah dan Apresiasi Seni Visual.
Kedua-dua bahagian ini diharapkan dapat membantu murid dalam menguasai
pelbagai kemahiran. Antara kemahiran yang akan dikuasai murid melalui
pendidikan seni visual ialah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif,
kemahiran berkomunikasi secara berkesan, kemahiran membuat pilihan dan
keputusan yang tepat, kemahiran mencari, menginterpretasi dan
mengaplikasi maklumat, kemahiran bekerjasama dan kemahiran
pengurusan.

Bagi membolehkan murid menguasai kemahiran-kemahiran ini guru perlu
mengintegrasikan kedua-dua bidang ini dalam pengajaran dan
pembelajaran. Dalam penghasilan seni visual, kegiatan harus melibatkan
penerokaan, pewujudan idea, perkembangan idea, pembelajaran secara
terancang, penggunaan teknologi, alat dan bahan melalui teknik tertentu.
Semua kegiatan seni mengutamakan kajian-kajian sebelum, semasa dan
selepas proses penghasilan. Ini bertujuan menerapkan budaya penyelidikan
di kalangan murid.

Kedua-dua bidang ini menjurus kepada matlamat Pendidikan Seni Visual
dan juga matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tujuannya adalah
untuk pembinaan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Pengajaran
dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual dijalankan dalam bentuk teori
dan praktikal tetapi pendekatannya bergantung kepada kebijaksanaan guru
untuk mengendalikannya asalkan meliputi tiga domain iaitu, pengetahuan,
kemahiran dan nilai.

Perkara yang ditegaskan dalam bidang penghasilan seni visual adalah
kegiatan kreatif yang melibatkan benda-benda yang dapat disentuh, dilihat
dan diimaginasi bagi menggalakkan perkembangan persepsi dan daya intuisi.
Dengan ini diharapkan fahaman nyata dan abstrak dapat diselaraskan dan
pemupukan minat terhadap Pendidikan Seni Visual dapat dikembangkan.
Bidang Sejarah dan Apresiasi Seni Visual memberi tumpuan kepada
pengalaman seni dalam kehidupan harian dan dalam budaya kebangsaan.
Perbandingan dengan seni dan budaya luar juga digalakkan bagi
memperlihatkan keseimbangan pendedahan dalam bidang seni visual
termasuk kraf kebangsaan demi mengenali seni visual dalam evolusi budaya
kebangsaan.